ni kawan ana yg foward kan kat emel....so, ana paste untuk di share bersama...
Sayidatina Khadijah binti Khuwailid Sumber Inspirasi Rasulullah
Apabila Rasulullah s.a.w menerima wahyu untuk menyebarkan Islam, Sayidatina Khadijahlah wanita pertama yang menyambut kebenaran itu. Beliau terus yakin dan mentauhidkan Allah s.w.t serta mengakui kebenaran suaminya walaupun tatkala itu Rasulallah s.a.w menerima tohmahan serta cacian daripada kaumnya. Beliau mengorbankan segala harta benda dan jiwa raganya semata-mata untuk membela dan memeprjuangkan agama Allah hingga habis seluruh hartanya. Kerana pengorbanan yang terlalu besar itu, Sayidatina Khadijah tetap dikenang oleh Rasullullah s.a.w walaupun beliau telah lama kembali ke rahmatullah. Pernah Sayidatina Aisyah berkata :"Saya tidak pernah cemburu kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w seperti saya cemburu kepada Khadijah padahal saya tidak pernah berjumpa dengannya."Ini adalah kerana Rasulullah sering menyebutnya. Sayidatinna Khadijah sentiasa dikenang oleh Rasulullah walaupun setelah wafatnya. Pernah baginda menyebut : "Dia beriman padaku di saat orang lain kafir, dia membenarkan aku di saat orang lain mendustakan aku. Dia menolongku dengan hartanya dikala orang lain tidak memberikannya kepadaku dan Allah menganugerahkan anak kepadaku daripadanya bukan dari isteri-isteri yang lain." Begitulah pengorbanan seorang isteri yang terlalu besar jasanya pada suami dan perjuangan Islam. Beliau merupakan sumber insperasi dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.
Sayidatina Aisyah Penyambung Lidah Rasulullah
Sayidatina Aisyah juga tidak kurang hebatnya. Kalau Sayidatina Khadijah banyak memberi jasa baktinya di awal perjuangan Islam. Sayidatina Aisyah pula tatkala Islam sedang berkembang. Beliau merupakan seorang yang cerdik, tangkas dan berkemampuan menguasai ilmu pengetahuan daripada Rasulullah s.a.w. Bahkan di dalam membantu perjuangan suaminya, dia merupakan perantara untuk menyebarkan ilmu Al Quran dan amalan Rasulullah di kalangan generasi kemudiannya. Ini terbukti dalam peristiwa-peristiwa yang terkemudian di mana beliau menyampaikan ilmu kepada ulama-ulama yang terkenal melalui ucapannyanya tentang Al Quran dan hadith serta perbincangan tentang masalah hukum yang sukar dan samar. Abu Musa Ashaari berkata :"Kami tidak pernah menghadapi kesusahan kerana apabila kami pergi bertanya kepada Saidatina Aisyah, pasti kami mendapat maklumat daripadanya." Imam Zuhri, ketua para tabi'in pula berkata: "Sayidatina adalah orang yang paling berilmu di kalangan kami. Jika semua lelaki di satukan, maka ilmu Sayidatina Aisyah akan melebihi ke semua ilmu mereka yang dikumpulkan tadi." Selain daripada itu , sebagai seorang isteri, Sayidatina Aisyah sentiasa membuatkan Rasulullah s.a.w senang hati bila berada di sampingnya. Ini jelas terbukti apabila saat-saat terakhir sebelum kewafatan Rasulullah, baginda telah meminta izin daripada semua isterinya agar baginda dapat menetap di rumah Sayidatina Aisyah semasa keuzurannya. Akhirnya Rasulullah s.a.w wafat pada hari giliran Sayidatina Aisyah. Itulah peranan yang dilakukan oleh Sayidatina Aisyah, isteri Rasulullah. Dunia Islam akan sentiasa menghormatinya dan memujinya dan beliau kekal sebagai orang yang ternama dan mulia.
Ummu Salamah Isteri Yang Membantu Menyelesaikan Masalah Suami
Ummu Salamah memang terkenal memiliki fikiran yang tajam, pintar serta tepat buah fikirannya. Beliau merupakan salah seorang isteri Rasulullah yang aktif menyumbangkan masa,tenaga dan fikirannya demi perjuangan Islam. Pernah berlaku satu masalah semasa perdamaian Hudaibiyah. Di waktu itu setelah selesai Rasulullah s.a.w mengadakan perjanjian dengan kaum Quraisy, baginda memerintahkan kaum muslimin supaya membuat penyembelihan unta atau domba sebagai dam kerana mereka terhalang daripada melaksanakan haji. Namun setelah perintah dikeluarkan, masih tiada dari kalangan mereka yang melakukan. Apabila Rasulullah menemui Ummu Salamah, beliau lalu menyuarakan pendapatnya dengan katanya :"Wahai Nabi Allah, cubalah tuan keluar tanpa berkata kepada sesiapapun sehingga tuan menyembelih unta tuan sendiri kemudian mencukur rambut tuan. Insya-Allah mereka akan melihat perbuatan tuan dan menirunya."Rasullullah menerima pandangan tersebut. Setelah kaum muslimin melihat Rasullallah menyembelih unta dan mencukur rambutnya, mereka pun dengan segera berebut-rebut untuk menyembelih unta dan mencukur rambut. Begitulah antara contoh bagaimana isteri yang bijak dan baik pemikirannya boleh membantu suaminya dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru itu wajarlah seorang isteri yang dikurniakan dengan kebijaksanaan menggunakan kepintarannya itu untuk mengurangkan bebanan suaminya.
Siti Rahmah Sanggup derita kerana taatkan suami
Ujian yang ditanggung oleh Nabi Allah Ayub amat berat sekali. Sebelum beliau diangkat menjadi Nabi lagi syaitan sudah tidak senang kepadanya. Segala hasil pertanian dan harta bendanya habis musnah di dalam bencana yang dikerjakan oleh syaitan laknatullah. Bahkan kaum keluarga dan anak-anaknya juga mati dihempap runtuhan istana Nabi Ayub. Tinggallah Nabi Ayub dengan seorang isterinya yang taat, Siti Rahmah menjalani hidup di dalam keadaan serba dhaif. Syaitan rupa-rupanya masih tidak senang hati dengan Nabi Ayub dengan ujian yang ditanggungnya. Suatu ketika syaitan datang dekat dengan Nabi Ayub, lalu menghembuskan penyakit di leher Nabi Ayub. Nabi Ayyub diserang penyakit gatal dan melarat ke seluruh badannya hingga menjadi parah dan berulat. Seluruh penduduk kampung merasa benci terhadap Nabi Ayub. Hanya Siti Rahmah yang masih lagi duduk bersama baginda dan melayannya dengan baik. Kerana takutkan orang kampung menganiaya Nabi Ayub, Siti Rahmah telah membawa Nabi Ayub keluar dari kampung tersebut setelah dihalau oleh penduduk kampung. Dengan susah payah, Siti Rahmah menggendong Nabi Ayub di atas belakangnya kerana Nabi Ayub sudah tidak boleh berjalan lagi. Ke mana sahaja Siti Rahmah membawa Nabi Ayub, orang akan menghina dan mencemuhnya. Sehinggalah Siti Rahmah tidak ada pilihan lain melainkan membawa Nabi Ayub ke subuah gua untuk berehat dan bersembunyi. Kesakitan yang tanggung oleh Nabi Ayyub semakin hari semakin parah. Namun Siti Rahmah tetap melayannya dengan baik dan merawatnya dengan penuh kasih sayang tanpa keluh kesah walau sedikit pun. Satu hari setelah kehabisan makanan, Siti Rahmah keluar ke pekan yang berdekatan untuk mendapatkan makanan. Namun mereka mengenalinya dan menghinanya. Namun beliau tetap tengan dan sabar. Siti rahmah tidak punya wang yang cukup untuk membeli makanan. Sehingga beliau mendapat fikiran untuk memotong rambutnya yang panjang lalu ditukar dengan makanan. Sampai begitu sekali pengorbanan seorang isteri yang setia. Apabila sudah tidak punya apa-apa lagi, Siti Rahmah akan keluar dari gua untuk mencari pucuk-pucuk kayu yang boleh dimakan., memasaknya dan menyuapkan ke mulut Nabi ayub yang sudah tidak berdaya. Begitulah setianya Siti Rahmah yang rela berhadapan dengan penderitaan , kata nista manusia, namun tetap redha dan sabar sehinggalah akhirnya Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s dengan menerbitkan air penyembuh daripada dalam bumi.
Siti Asiah Sanggup pertahankan keimanannya
Barangkali ada di antara kita yang dikurniakan dengan suami yang derhaka dan tidak taat kepada perintah-perintah Allah. Janganlah berputus asa mendapatkan suami yang sedemikian kerana kita masih beruntung, sejahat-jahat suami kita pun, tidak sampai mengaku dirinya tuhan sebagaimana Firaun. Tetapi lihat dan contohilah Siti Asiah di dalam tindakannya berdepan dengan Firaun. Walaupun Siti Asiah bersuamikan Firaun yang mengaku dirinya tuhan, tetap melayaninya dengan baik dengan harapan Firaun akan berubah dan mengikuti Nabi Musa serta menyembah Allah yang esa. Tetapi rupa-rupanya kebenaran itu tidak menyebelahi suaminya. Dia tetap berdegil, namun Siti Asiah tetap bersabar dan tidak berputus asa serta menerima hal itu sebagi ujian dari Allah untuknya. Bahkan beliau sentiasa berdoa agar Allah selamatkan dirinya setiap kali Firaun memintanya untuk tidur bersamanya. Allah gantikan dengan syaitan betina yang menyerupai Siti Asiah setiap kali Firaun hendak tidur dengannya. Dialah wanita yang Allah sucikan daripada suaminya. Dan diatas mujahadahnya melayani suaminya, Firaun yang derhaka itu Rasulallah s.a.w telah bersabda memuji kesabaran dan mengambil iktibar akan halnya di dalam sabda baginda :"Dan barangsiapa yang sabar atas budi pekerti suaminya yang buruk, maka Allah akan memberikan pahala sama dengan pahala Siti Asiah, isteri Firaun."
Fatimah Binti Abdul Malik Ambillah segala hartaku ini
Sewaktu dipilih menjadi khalifah, Sayyidina Umar Ibnu Abdul Aziz, telah berkata kepada isterinya, " Wahai isteriku ! Jika engkau mahu, aku boleh melepaskan dirimu kerana tugas sebagai khalifah ini sangat berat untuk dipikul. Aku takut aku tidak dapat menjalankan tanggungjawabku dengan sempurna terhadapmu. Aku terpaksa memikirkan masyarakat lebih daripada keperluanmu."Lalu dijawab oleh isterinya," Wahai suamiku ! Aku sanggup menempuh laluan perjuanganmu yang terlalu sukar itu. Nah ! ambillah segala perhiasan dan hartaku hatta segala keperluan hidupku, aku korbankan ia untuk perjuangan yang maha suci ini
wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment